Kepalaku terasa sakit, aku berdiri dan membuka mataku perlahan-lahan
cuba melihat keadaan sekeliling. Aku dikelilingi kepulan asap
seakan-akan kepulan awan. Dimanakah aku berada? Baru sebentar tadi aku
cuba untuk memetik bunga Ros yang cantik berwarna ungu. Aku bingung
memikirkan apa yang telah berlaku. Jiwaku bercelaru.
"Jangan bimbang Hidayu.. aku yang bawa kamu kemari", aku
lantas berpaling kearah suara itu. Seorang lelaki perkasa berdiri di
belakangku, tersenyum segak. Pakaiannya seakan-akan pahlawan kurun
ke-15.
"Kenapa awak bawa saya ke sini?", soalku gentar.
"Aku sudah lama perhatikanmu Puteri ku", jawabnya jujur sambil menundukkan wajah ke tanah.
"Tapi kenapa?", soalan ku tidak terus dijawab. Dia lantas datang ke arah ku berwajah serius,
"Kerana aku cinta kamu".
Aku membeliakkan mata. Dia tersenyum lalu memetik bunga Ros berwarna
ungu yang berada di sebelah ku lalu memberikannya kepada ku.
"Petiklah bunga ini jika kamu ingin bertemu dengan ku, keluarlah mengikut arah cahaya itu",
katanya sambil menunding jari ke arah cahaya putih yang menyilaukan
mata. Aku memandang ke arah cahaya itu dan berpaling semula ke arahnya,
dia telah pun ghaib dari pandangan. Aku yang masih lagi kebingungan
lantas berlari melalui cahaya putih tadi. Mataku terasa sakit. Aku
memejamkan mata, terasa pawana meniup halus melanggar pipiku. Aku
membukakan mata, kelihatan kanak-kanak berlari anak dihadapan rumahku.
Disinilah tempat terakhir aku berdiri sebelum di bawa ke sempadan hijab
sana. Entah apa nama tempat tadi aku pun tak pasti, yang pasti aku masih
lagi dalam kebingungan.
"Kerana aku cinta kamu", kata-kata itu
masih terngiang-ngiang di telingaku. Siapakah pemuda tadi? Bila masa
pula dia memerhatikan aku? Seingat aku, aku tak pernah pun melihat dia
di kampung ini. Dalam aku berkira-kira akhirnya aku terlena.
Pagi itu setelah selesai menolong ibu mengemas dan memasak, aku pergi lagi ke belakang rumah.
"Petiklah bunga ini jika kamu ingin bertemu denganku",
suara pemuda itu seakan angin yang meniup datang memperingatiku. Aku
tercari-cari bunga Ros ungu itu. Aku harus bertemu dengan pemuda itu,
aku mahu kan jawapan darinya. Mataku meliar tercari-cari bunga itu.
Akhirnya mataku tertumpu ke arah bawah pohon beringin, bunga Ros ungu
itu bercahaya seakan-akan memanggilku agar segera memetiknya. Aku
mempercepatkan hayunan langkah, sampai sahaja betul-betul dihadapan
bunga itu terus sahaja aku memetiknya. Terasa dingin menyelubungi diri,
keadaan sekitar berubah seakan-akan berada di dalam sebuah taman yang
cukup indah.
"Assalamualaikum Puteriku", suara pemuda kelmarin kedengaran lagi. Aku berpaling dan disambut senyuman manis olehnya.
"Walaikumsalam", aku hanya tersenyum tawar.
"Aku tidak menyangka kamu akan kembali lagi ke sini Hidayu", katanya sambil menyilangkan tangannya kebelakang.
"Saya cuma nak penjelasan dari awak, kenapa awak cakap yang awak cintakan saya?",
soalku keliru. Senyuman manisnya dilemparkan ke arah air terjun yang
sedari tadi turun mencurah-curah. Dia menarik nafas panjang sebelum
memulakan bicara,
"Aku sudah lama memerhatikanmu Hidayu, kau cantik dimataku".
"Tapi saya tak nampak awak pun, kenapa selepas petik bunga Ros ungu baru boleh nampak awak?", soalku bertalu-talu.
"Kerana kita dipisahkan oleh dua hijab yang berbeza.. Namun cinta tak mengenal siapa", jelasnya lagi. Aku terdiam mengerti.
"Ayuh kita ke rumahku", pelawanya tersenyum kacak. Aku hanya mengikutinya tanpa banyak bicara.
"Inikah gadis yang kau maksudkan itu Iskandar?", soal seorang wanita separuh abad dihadapanku.
'Oh, Iskandar namanya', getus hatiku.
"Ya bonda, inilah Hidayu gadis pilihanku", jawabnya penuh adab sopan.
"Kau harus mengerti, kita berlainan dunia anakku", wanita itu seakan memujuk.
"Tiadalah yang lain mampu untuk ku cintai bonda", suara Iskandar mendatar. Aku hanya terdiam memandang kedua beranak itu berdialog.
"Tak mengapalah marilah kita menjamu selera dahulu",
wanita itu mempelawa. Kami menuju ke dapur dan menikmati hidangan
makanan tengahari, anehnya makanannya sama seperti makanan penduduk di
dimensi ku. Terataknya juga sama, tidak jauh beza. Cuma pertuturan
mereka seakan-akan di zaman Hang Tuah. Aku seakan teruja, langsung tidak
menyangka dapat melihat sendiri kehidupan makhluk yang tidak dapat
dilihat oleh mata kasar ini. Subhanallah, begitu besar kuasa Allah
pencipta.
Iskandar membawa ku bersiar-siar di taman, dia menghadiahkan ku sebentuk cincin emas yang sangat cantik.
"Inilah tanda kasih ku padamu Hidayu",
katanya jujur tersenyum kacak menampakkan lesung pipit di pipi kiri
nya. Aku hanya tersenyum dan seakan sudah jatuh cinta. Manakan tidak,
dia melayani ku bagaikan seorang puteri. Tutur katanya lembut dan sopan.
Ayat-ayat cinta yang keluar dari mulutnya membuatkan aku seakan
dihanyutkan lautan samudera.
"Hidayu, hari sudah petang eloklah kiranya kamu pulang dahulu",
katanya jujur. Aku hanya mengganguk tanda setuju dan mengikutinya ke
tempat bercahaya terang itu. Aku berpaling memandangnya sebelum
melangkah kearah cahaya,
"Is, aku juga cinta padamu". Ternampak garis-garis gembira pada riak wajahnya, aku berpaling dan berlalu pergi.
Aku muncul di bawah pohon beringin, nasib baik lah hari masih cerah.
Kalau tidak Ibu dan Ayah pasti mengesyaki sesuatu. Aku cepat-cepat
menuju ke rumah, Ayah dan Ibu masih di ruang tamu.
"Ayu, kamu kemana? Dah dua hari asyik hilang macam tu aje, dah nak dekat maghrib baru nampak batang hidung". Ayah sudah mula menyoal.
"Ayu jalan-jalan ke rumah kawan", jawab ku lalu terus masuk ke dalam bilik.
"Jangan ke belakang rumah sudah, tempat tu bukannya elok",
kata Ibu pula menyambung. Aku hanya buat tak endah, biasalah orang
tua-tua sengaja menakut-nakutkan anak mereka sebagai peringatan supaya
berhati-hati.
Malam itu aku terus masuk tidur sedangkan keluargaku menjamu selera
di dapur, aku mengenggam erat cincin pemberian Iskandar yang berbentuk
seakan-akan bunga Ros ungu di belakang rumah. Wajah Iskandar menerpa di
ruangan mata ku, senyuman manisnya menyerikan hidup ku dan cintanya
memenuhi kekosongan hati ku. Iskandar sungguh istimewa, tidak ada
seorang pun lelaki sepertinya. Dia sempurna di mataku.
Matahari menerjah di tingkap bilik menyilaukan mata ku, aku terus
bangun bersiap-siap untuk bertemu dengan Iskandar kekasih hati.
Melihatkan Ibu dan Ayah tiada, aku terus ke bawah pohon Beringin dan
memetik lagi bunga Ros ungu untuk ke sebelah hijab sana. Iskandar masih
setia menunggu ku di tempat yang sama, kami seakan terlena dibuai cinta
dua dimensi yang berbeza. Begitulah setiap hari kami bertemu, sedar tak
sedar sudah hampir sebulan kami memadu asmara, kasih ku padanya sudah
tak terhitung banyaknya. Iskandar juga begitu, setiap saat berjanji
untuk sehidup semati bersama dan meminta agar aku sentiasa setia dengan
cinta kami.
"Hidayu, sudikah kamu menjadi suri hidupku?", soalnya
tiba-tiba. Aku hanya tersenyum malu lalu melangkah menuju ke arah air
terjun yang jernih. Iskandar mengikuti ku dari belakang.
"Mengapa kamu berdiam diri?", soalnya seakan cemas.
"Is. . saya beri jawapan esok boleh?",
kataku meminta kebenaran. Iskandar hanya mengganguk perlahan dan
tersenyum manis tanpa memaksa. Itulah sikapnya yang membuatkan aku jatuh
cinta. Dia benar-benar seorang lelaki yang budiman dan berpegang teguh
pada ajaranNya. Setiap hari pasti aku diajak berjemaah bersama dia dan
ibunya di rumah.
Malam itu selepas makan malam, aku terus melangkah laju ingin menuju ke kamar. Tiba-tiba sahaja Ayah memanggil ku.
"Ayah nak tanya sedikit, ayu buat apa kat belakang rumah siang tadi?", soal Ayah serius, Ibu yang duduk di sebelah Ayah pula tiba-tiba menitiskan air mata.
"Ayu jalan-jalan Ayah", jawabku tersekat-sekat.
"Jangan
tipu, ayah nampak Ayu pergi ke pohon beringin petik sesuatu.. tapi Ayah
tak nampak pun apa yang Ayu petik, lepas tu tiba-tiba ghaib", terang Ayah yang membuatkan ku terkedu seketika. Aku menelan liur. Tembelang ku sudah pecah.
"Ayu tahu tak bawah pohon beringin tu tempat orang bunian?", soal Ayah lagi. Aku hanya mengganguk tanda faham.
"Maknanya Ayu dah jumpa orang di sebelah sana?" Aku mengganguk lagi.
"Ayu tahu tak kalau ada yang berkenan dan kahwin dengan Ayu, mungkin Ayu tak boleh balik ke dimensi kita lagi?", ayah memandangku sayu.
"Pernah
terjadi di dalam keluarga kita Ayu, nenek Su kamu tidak pernah lagi
pulang ke sini sejak berkahwin dengan orang di sebelah sana", ibu
menambah. Kali ini aku terkejut besar, bagaimana kalau ianya terjadi
kepadaku? Apakah aku sanggup meninggalkan keluarga sendiri demi cinta
terhadap lelaki yang berlainan dimensi? Aku memandang sayu cincin
pemberian Is, tak semena-mena air mataku jatuh membasahi pipi. Ayah
menghampiriku dan mengusap lembut rambutku. Ibu juga datang menghampiri
untuk melihat keunikkan cincin dimensi sana.
"Pulangkan semula cincin ini, Ayah doakan kamu selamat pulang",
ujar Ayah yang mengiringi ku ke pohon beringin. Aku memetik bunga Ros
ungu lalu ghaib di mata Ayah. Iskandar hadir dengan sekuntum bunga Ros
ungu, dia kemudiannya menghadiahkannya kepada ku.
"Jawapanmu?", soalnya tidak sabar.
"Is, saya cintakan kamu", kataku sayu. Tidak semena-mena air mata ku jatuh berlinangan.
Iskandar menghampiri dan mengusap lembut pipiku.
"Mengapa?", soalnya kehairanan.
"Iskandar, kita berasal dari dua dunia yang berbeza.. saya tak mahu berpisah dengan keluarga", jelas ku sayu.
"Mana mungkin aku mampu hidup tanpa kamu Hidayu", suara Is terketar-ketar menahan sebak.
"Sungguh aku menyintaimu", sambungnya lagi.
"Saya pun begitu, tapi kita tak dapat melawan hukum alam sayang", jelasku sambil mengesat air mata yang sedari tadi turun mencurah-curah. Lalu ku memulangkan semula cincin pemberiannya.
"Hidayu, benarkah keputusan mu begitu?",
soalnya serius. Aku hanya mengganguk perlahan, esakan semakin kuat.
Iskandar menghampiriku, dia memegang bahu ku lalu mengucup dahi ku tanda
kasih. Aku memejamkan mata seeratnya, terasa titisan air mata Iskandar
hangat membasahi dahi ku.
Aku membukakan mata, ternyata aku sudah kembali ke alam nyata. Ayah
dan Ibu sedang menanti di belakang rumah, aku memandang sayu ke arah
pohon beringin, tiada lagi Ros ungu disitu. Yang masih berbekas hanyalah
titisan air mata Iskandar di dahiku. Sambil berlari anak menuju ke
rumah, aku menangis semahunya. Hatiku hancur berkecai saat meminta
perpisahan dari nya, aku terlalu menyayangi Iskandar. Ingin sahaja aku
mengundurkan masa yang masih berbekas tadi menatap puas wajahnya yang
bersih itu. Aku menoleh semula ke arah pohon beringin tadi. Ternyata
Iskandar ada di situ melambai sayu, kelihatan titis-titis jernih terbit
dari kelopak matanya. Semakin lama susuk tubuhnya semakin kabur lalu
hilang dari pandangan. Sukarnya untuk ku berpisah denganmu Iskandar,
ternyata cintamu berbekas di hatiku.